Tuesday, 17 April 2012

ENTRI 27: BERANI PUNYA BUDAK


‘Berani Punya Budak’ merupakan tajuk bagi sebuah 
filem yang baru sahaja ditanyangkan di pawagam 
Malaysia.Sebelum itu, filem ini telah ditanyangkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tanyangan pratonton dalam rangka kerja promosi filem tersebut. Saya adalah salah seorang penonton filem tersebut yang ditayangkan di Auditorium Utama UPSI. Melalui penilaian saya, filem ini merupakan sebuah filem berganre aksi komedi yang kurang memelihara penggunaan bahasa bahasa Melayu standard. Saya tidak mempertikaikan masalah penggunaan bahasa Melayu standard secara serius sementelah latar masyarakat dalam filem ini merupakan masyarakat yang ganas dan samseng. Maka banyaklah unsur slanga yang digunakan dalam penulisan skrip filem tersebut.

"Tajuk dan temanya pun menggunakan istilah slanga." ^_^

Monday, 16 April 2012

ENTRI 26: TANGISAN ITU BAHASA


Mengalir air mata ini takala menonton satu babak dalam sebuah drama Melayu. Tiba-tiba rakan sebilikku bertanya, "Kenapa menangis, drama sedih ya?" Aku tersenyum mendengar pertanyaannya kerana tangisanku bukan kerana sedih tetapi gembira. Babak kegembiraan yang terhidang di hadapan mataku membuatkan ku terharu sehingga menangis. 

"Hanya air, tetapi penuh kuasa" ^_^

           Itulah realiti tangisan yang mengandungi seribu makna. Lambang kepada bahasa hati dan juga perasaan. Tangisan boleh berlaku ketika sedih, gembira, ketakutan, marah, keinsafan dan sebagainya. Melalui tangisan dan situasi kita dapat memahami mesej yang ingin disampaikan oleh seorang penutur. Berbahasa dengan titisan air mata satu berkara yang jarang-jarang kita fikirkan. Namun itulah keadaan yang sering kita gunakan sebagai medium komunikasi apatah lagi apabila tidak terdaya untuk mengungkapkan kata-kata. 

Friday, 6 April 2012

ENTRI 25: LUKISAN BERBICARA

Apakah agaknya bicara lukisan ini, adakah kemarahan? ^_^

Saya bukan mahu bercerita tentang filem Harry Potter atau rancangan Misteri Nusantara apabila membangkitkan tajuk Lukisan Berbicara. Saya teringat kata-kata seorang tokoh sastera yang mengatakan bahawa, lukisan adalah penipuan. Hal ini demikian kerana, lukisan hanya akan terhasil daripada satu peniruan. Kita tidak pasti sama ada peniruan tersebut benar-benar sama atau tidak dengan objek sebenar. Walau bagaimanapun, lukisan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Lukisan tergambar dengan mendukung pelbagai makna iaitu melalui garisan, warna, bentuk dan sebagainya. Oleh itu, saya katakan bahawa lukisan boleh berbicara, tetapi hanya orang yang pakar sahaja dapat memahami bicara sebuah lukisan.

           Lukisan abstrak misalnya sangat terkenal sebagai sebuah lukisan yang mempunyai makna tersirat. Warna dan simbol yang digunakan mempunyai maksud tertentu. Sebuah lukisan tidak dapat dinilai kualitinya dengan hanya dipandang secara zahir tetapi dengan meneliti perkara sebenar yang ingin disampaikan oleh penukis. Kadangkala, lukisan juga dijadikan medan untuk meluahkan isi hati. Pelukis hanya perlu melari-larikan berus lukisan untuk berkata-kata tentang perasaan mereka. Kemungkinan ketika marah, mereka tidak perlu melontarkan kemarahan itu kepada sesiapa, tetapi hanya melontarkannya di atas sehelai kertas atau kain putih . Uniknya bahasa lukisan.

Thursday, 5 April 2012

ENTRI 24: BAHASA HAIWAN


Cuti semester hampir bermula. Tidak sabar rasanya saya ingin pulang ke kampung untuk bertemu emak, ayah serta kucing-kucing tersayang sebagai pengubat rindu. Rindu mendengar celoteh mak dan ayah juga suara si comel-comel yang hanya boleh mengunkapkan bunyi "meow". Sebagaimana yang telah saya ketahui melalui pembelajaran bidang fonetik, bahasa merupakan sistem bunyi yang diujarkan oleh alat-alat artikulasi. Oleh itu, tidak salah sekirannya saya mengatakan bahawa kucing-kucing saya dan haiwan lain boleh berbahasa. 
"Awak, saya ada satu cerita." Apakah yang dibisikkan oleh mereka? ^_^


          Bahasa haiwan sememangnya hanya difahami dalam kalangan haiwan sahaja, tetapi tidak mustahil terdapat manusia yang seakan-akan memahami bahasa haiwan. Saya sendiri kadangkala dapat memahami kehendak kucing-kucing saya walau hanya mendengar bunyi 'meow'. Saya dapat membezakan sama ada 'meow' yang diungkapkan itu bermaksud mahu makan, mahu membuang air atau mahu keluar daripada kandang. Unikkan? Manusia dapat memahami bahasa haiwan. Begitu sebaliknya, haiwan juga dapat memahami bahasa manusia. mereka akan lari ketakutan apabila manusia marah, mereka akan menjadi manja apabila dipanggil. Tiada perkara yang mustahil kerana itulah uniknya bahasa sebagai medium perhubungan sesama manusia dan juga makhluk lain.

Wednesday, 4 April 2012

ENTRI 23: BAHASA ISYARAT


"Jom belajar". ^_^

Ketika saya berjalan di dalam Terminal 1 Seremban untuk ke kaunter tiket, saya melitas di hadapan seorang anak muda. Dia sedang menggerak-gerakkan tangan sambil melihat rakannya di hadapan. Tahulah saya ketika itu bahawa pemuda itu mempunyai kelainan upaya iaitu bisu. Gerakan-gerakan tangannya merupakan sebuah bahasa. Bahasa yang dapat dilihat tetapi tidak dapat di dengar. Uniknya ciptaan Allah yang memberikan kemampuan makhluk-makhluknya berbahasa dan berkomunikasi walau hanya dengan menggerakkan tangan.
            Bahasa isyarat merupakan bahasa yang diaplikasikan dengan menggunakan isyarat atau simbol serta kod-kod tertentu. Bagi memahami bahasa isyarat, kita perlulah mempelajari dan memahami kod-kod yang telah ditetapkan. Bahasa isyarat ini adalah alternetif yang dicipta bagi memudahkan insan istimewa seperti pekak dan bisu untuk berkomunikasi. Tanpa bahasa isyarat, maka tidak mustahil golongan istimewa ini sukar untuk berhunbung dengan orang lain. Penggunaan bahasa isyarat ini tidak terbatas bagi orang-orang kurang upaya sahaja, tetapi masyarakat juga boleh mempelajarinya sebagai kemahiran nilai tambah yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan. Kita juga boleh menjadi tenaga pengajar kepada golongan istimewa ini dengan adanya kemahiran bahasa isyarat. Melalui ilmu kita dapat membantu.

Tuesday, 3 April 2012

ENTRI 22: AYAT-AYAT CINTA


Usai membaca novel terkenal, 'Ayat-ayat Cinta' karya Habiburrahman El Shirazy, saya memikirkan kembali maksud yang terkandung dalam tajuk novel tersebut. Rupa-rupanya anggapan saya tentang frasa Ayat-ayat Cinta yang tertera di hadapan kulit novel itu tidak benar sama skali dengan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis. Maksudnya bukanlah bahasa cinta antara dua insan yang sedang berkasih, ayat-ayat cinta ini juga bukanlah ayat-ayat 'jiwang' dan bebunga-bunga yang diucapkan oleh si jejaka kepada gadisnya, tetapi ayat-ayat cinta ini adalah ayat al-Quran iaitu bahasa Allah yang diucapkan buat hamba-Nya. 
Ayat-ayat cinta Allah buat hamba-Nya ^_^

            Bahasa Allah sangat indah sehinggakan boleh mencairkan hati singa Umar Al Khattab. Bahasa Allah yang terukir di dalam al-Quran tidak dapat dicipta atau diciplak oleh setiap makhluk di muka bumi ini walau seluruh manusia bergabung tenaga melahirkan bahasa yang sama seperti bahasa Allah. Sebagai umat Islam, kita perlulah mengagungkan bahasa Allah dan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebagaimana yang telah terlakar di dalam al-Quran.

Monday, 2 April 2012

ENTRI 21: PERIBAHASA MELAYU


Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan kata-kata dan ungkapan yang indah serta mempunyai nilai estetikanya. Penggunaan ungkapan tersebut atas pelbagai tujuan seperti memuji, menyindir, berkias dan sebagainya. Ungkapan-ungkapan indah tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa jenis bagi menunjukkan perbezaan antara satu ungkapan dengan ungkapan lain. Entri untuk kali ini, saya akan menerangkan serba sedikit tentang ungkapan-ungkapan indah tersebut:
Bil
Ungkapan
Maksud
Contoh ungkapan
1
Bidalan
Ungkapan bersifat selapis yang mengandungi unsur nasihat dan kebiasaannya ditandai dengan diksi biar, ingat dan jangan.
Jangan membawa resmi jagung, makin berisi makin tegak.
2
Pepatih-petitih
Ungkapan pepatah-petih juga bersifat selapis dan mempunyai sifat bernas iaitu menekankan sifat ringkas dan bijak susunan katanya. Pepatah-petitih kadang kala tidak mengandungi pengajaran sebagaimana ungkapan bidalan.
Indah kabar dari rupa.
3
Kata-kata punjangga
Kata-kata pujangga merupakan ungkapan-ungkapan nasihat yang diucapkan oleh tokoh-tokoh bijak pandai.
Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.
4
Hadis Melayu
Hadis Melayu ialah ungkapan yang dicipta oleh masyarakat Melayu dan melebelkannya sebagai hadis Rasulullah SAW sedangkan ungkapan tersebut tidak pernah diucapkan oleh Baginda. Ungkapan-ungkapan tersebut berkaitan dengan hukum-hakam dan perihal keagamaan Islam. Masyarakat Melayu cenderung menganggap hadis tersebut sebagai kata-kata Rasulullah dan mengamalkannya sebagai sunnah.




5
Perbilangan
Perbilangan ialah ungkapan yang disusun secara berangkap-rangkap seperti bentuk puisi. Ungkapannya terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu persatu seperti membuat perbilangan atau kiraan.
Merajuk kepada yang kasih,
Bermanja kepada yang sayang,
Meminta kepada yang ada,
Barkaul kepada yang keramat.
6
Gurindam
Gurindam ialah salah satu puisi lama yang mempunyai lagu tersendiri berbeza daripada lagu syair Melay. Gurindam mengandungi kata-kata nasihat dan kebiasaanya mempunyai rima akhir yang sama.
Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itulah tanda hampir duka
7
Seloka
Seloka merupakan puisi tradisional yang berbentuk bebas. Seloka mengandungi unsur-unsur sindiran dan jenaka.
Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.
8
Tamsil
Tamsil ialah merupakan ungkapan misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan.
Bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk.
9
Peribahasa
Peribahasa ialah ungkapan atau susunan kata yang pendek dengan makna yang luas. Peribahasa juga mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
10
Simpulan bahasa
Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang paling mudah dan terdiri daripada dua patah kata serta membawa maksud yang tepat dan padat.
Batu loncatan.
11
Ibarat
Ibarat ialah ungkapan berbentuk kiasa yang menggunakan perkataan ‘ibarat’ untuk membuat perbandingan tentang sesuatu perkara.
Ibarat burung, mata lepas badan terkurung.
12
Perumpamaan
Perumpamaan merupakan ungkapan yang memperkatakan sesuatu amksud atau tujuan dengan membandingkan kepada sesuatu perkara atau kejadian.
Umpama cincin dengan permata.
Kepelbagaian ungkapan yang dicipta oleh nenek-moyang kita seperti ini memperlihatkan bahawa betapa kreatifnya pemikiran masyarakat dahulu kala menyusun kata-kata menjadi rantaian perkataan yang indah dan bersinar. Oleh itu, sebagai cucu-cicit mereka, pelihara dan gilaplah sinaran itu agar ungkapan indah ini "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".