Monday, 2 April 2012

ENTRI 21: PERIBAHASA MELAYU


Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan kata-kata dan ungkapan yang indah serta mempunyai nilai estetikanya. Penggunaan ungkapan tersebut atas pelbagai tujuan seperti memuji, menyindir, berkias dan sebagainya. Ungkapan-ungkapan indah tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa jenis bagi menunjukkan perbezaan antara satu ungkapan dengan ungkapan lain. Entri untuk kali ini, saya akan menerangkan serba sedikit tentang ungkapan-ungkapan indah tersebut:
Bil
Ungkapan
Maksud
Contoh ungkapan
1
Bidalan
Ungkapan bersifat selapis yang mengandungi unsur nasihat dan kebiasaannya ditandai dengan diksi biar, ingat dan jangan.
Jangan membawa resmi jagung, makin berisi makin tegak.
2
Pepatih-petitih
Ungkapan pepatah-petih juga bersifat selapis dan mempunyai sifat bernas iaitu menekankan sifat ringkas dan bijak susunan katanya. Pepatah-petitih kadang kala tidak mengandungi pengajaran sebagaimana ungkapan bidalan.
Indah kabar dari rupa.
3
Kata-kata punjangga
Kata-kata pujangga merupakan ungkapan-ungkapan nasihat yang diucapkan oleh tokoh-tokoh bijak pandai.
Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.
4
Hadis Melayu
Hadis Melayu ialah ungkapan yang dicipta oleh masyarakat Melayu dan melebelkannya sebagai hadis Rasulullah SAW sedangkan ungkapan tersebut tidak pernah diucapkan oleh Baginda. Ungkapan-ungkapan tersebut berkaitan dengan hukum-hakam dan perihal keagamaan Islam. Masyarakat Melayu cenderung menganggap hadis tersebut sebagai kata-kata Rasulullah dan mengamalkannya sebagai sunnah.




5
Perbilangan
Perbilangan ialah ungkapan yang disusun secara berangkap-rangkap seperti bentuk puisi. Ungkapannya terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu persatu seperti membuat perbilangan atau kiraan.
Merajuk kepada yang kasih,
Bermanja kepada yang sayang,
Meminta kepada yang ada,
Barkaul kepada yang keramat.
6
Gurindam
Gurindam ialah salah satu puisi lama yang mempunyai lagu tersendiri berbeza daripada lagu syair Melay. Gurindam mengandungi kata-kata nasihat dan kebiasaanya mempunyai rima akhir yang sama.
Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itulah tanda hampir duka
7
Seloka
Seloka merupakan puisi tradisional yang berbentuk bebas. Seloka mengandungi unsur-unsur sindiran dan jenaka.
Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.
8
Tamsil
Tamsil ialah merupakan ungkapan misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan.
Bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk.
9
Peribahasa
Peribahasa ialah ungkapan atau susunan kata yang pendek dengan makna yang luas. Peribahasa juga mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
10
Simpulan bahasa
Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang paling mudah dan terdiri daripada dua patah kata serta membawa maksud yang tepat dan padat.
Batu loncatan.
11
Ibarat
Ibarat ialah ungkapan berbentuk kiasa yang menggunakan perkataan ‘ibarat’ untuk membuat perbandingan tentang sesuatu perkara.
Ibarat burung, mata lepas badan terkurung.
12
Perumpamaan
Perumpamaan merupakan ungkapan yang memperkatakan sesuatu amksud atau tujuan dengan membandingkan kepada sesuatu perkara atau kejadian.
Umpama cincin dengan permata.
Kepelbagaian ungkapan yang dicipta oleh nenek-moyang kita seperti ini memperlihatkan bahawa betapa kreatifnya pemikiran masyarakat dahulu kala menyusun kata-kata menjadi rantaian perkataan yang indah dan bersinar. Oleh itu, sebagai cucu-cicit mereka, pelihara dan gilaplah sinaran itu agar ungkapan indah ini "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

No comments:

Post a Comment