"Berhati-hati ketika berbahasa tulisan " ^_^ |
Dewasa kini bahasa tulisan seperti sistem khidmat pesanan ringkas dan perbualan atas talian atau 'chatting' menjadi medium utama untuk berkomunikasi. Bahasa tulisan ini semakin popular dalam kalangan masyarakat dunia. Kadangkala pelbagai reaksi wajah yang dapat kita lihat apabila seseorang itu memandang paparan telefon bimbit atau paparan di komputer. Ada yang tersenyum, ada yang berkerut dan juga yang sedih. Namun di sebalik reaksi-reaksi wajah itu, pernahkah anda terfikir wujudnya komplikasi daripada penggunaan bahasa tulisan itu? Saya terpanggil untuk mengetengahkan isu ini setelah memberikan sebaris ayat kepada seorang rakan melalui khidmat pesanan ringkas yang berbunyi "Tak nak la awak". Saya menolak pelawaannya yang berkali-kali meminta saya menghadiri sebuah majlis perkahwinan bersamanya dengan bahasa tulisan itu. Tiba-tiba saya menerima balasan mesej daripadanya yang berbunyi "Baiklah, maaf". Sejurus membaca balasan mesej itu, saya terkesima dan terfikir sebab dia meminta maaf. Mungkinkah dia merasakan bahawa mesej yang saya beri kepadanya dilontarkan dengan emosi marah? Saya berasa sangat menyesal kerana sesungguhnya mesej yang saya sampaikan adalah sebaris ayat yang ingin diucapkan dengan intonasi yang redah dan lembut. Namun begitu saya tidak pasti adakah dia membaca bahasa tulisan itu dengan intonasi yang sama sebagaimana yang ingin saya ucapkan? Mungkin dia membacanya dengan intonasi yang marah sehinggakan dia memohon kemaafan.
Begitulah bahananya bahasa tulisan yang boleh dibaca dengan intonasi berbeza-beza. Saya terfikir apakah solusi yang terbaik bagi mengelakkan timbulnya masalah salah sangka ketika berkomunikasi? Mungkinkah saya perlu menggunakan bahasa tulisan seperti ini? "Tak nak la awak (baca dengan intonasi lembut)". Oleh hal yang demikian penggunaan simbol senyuman seperti ^_^ dan perkataan 'hehe' sebagai lambang ketawa amat digalakkan, agar sesiapa sahaja yang membaca bahasa tulisan dapat mengerti bahawa bahasa itu ingin disampaikan dengan intonasi yang baik. Oleh itu, kita perlulah sentiasa berhati-hati dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa tulisan. Hal ini kerana bahasa ini boleh mengguris hati sesiapa sahaja. Jangan tinggalkan budaya berbudi bahasa dan bersopan santun walaupun kita sedang berbahasa menggunakan bahasa tulisan.
No comments:
Post a Comment