Friday, 4 May 2012

ENTRI 40: LAGU BAHARU ATAU LAMA, APA PILIHAN ANDA?


Mendengar lagu ini di dalam bas, membuatkan saya dan rakan menilai serta membuat perbandingan tentang aspek bahasa antara lagu lama dan baharu. Mari kita lihat bait-bait liriknya.

Aku lihat dia di sana,
Aku ingin mendekatinya,
Aku cuba menghampirinya,
Lalu aku menyapa dia.
Dia pun membuka bicara,
Dan aku mulai mengenalnya,
Kita mulai bermain mata,
Mula timbul rasa bahagia.

‘Aku Suka Dia’, inilah tajuk lagu yang dinyanyikan oleh Ainan Tasnim. Lagu ini ditulis dengan hanya menggunakan bahasa biasa, bahasa basahan atau mudah dikatakan sebagai bahasa pasar. Tiada nilai estetika yang wujud dalam bait liriknya. Lirik lagu tahun 2012 ini disusun dengan satu tujuan iaitu sedap didengar. Cuba kita bandingkan dengan lirik lagu lama, pasti wujud perbezaannya. Hayatilah lirik lagu ini.

Di mana suara burung kenari,
Selalu merayu menghibur hati,
Mengapa kau tidak menyanyi,
Merajukkah dikau kenari?

Hai burung kenari sedang sembunyi,
Di balik rimbunan pohon yang tinggi,
Semalam ku tunggu di sini,
Kenapa kau tidak ke mari?

Dua rangkap lirik lagu ini, sudah cukup memberikan gambaran kepada kita betapa indahnya bahasa lagu lama. Lagu ‘Di Mana Suara Burung Kenari’ nyanyian Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma ini penuh dengan nilai estetikanya. Lihatlah pada setiap bait liriknya disusun rapi dengan rima akhir yang sama iaitu ‘aaaa’. Unsur pantun digunakan untuk menggubah sebuah lagu. Aspek gaya bahasa personifikasi juga digunakan sebagai tarikan. Bukan perkara mudah untuk kita lakukan. Selain itu, bahasa yang digunakan  juga mempunyai unsur-unsur tersirat dan berkias. Hal ini selari dengan situasi masyarakat Melayu yang mementingkan budi bahasa sehinggakan gemar menggunakan kiasan dalam berkomunikasi. Itulah ragam bahasa lagu pada tahun 60-an. Jadi, apakah pilihan anda? Masih mahukah anda mengagung-agungkan lagu-lagu Melayu baharu yang semakin hilang nilai estetika bahasanya? Apakah kualiti lagu Melayu pada masa hadapan?
            Lagu dikatakan sebagai medium penyampaian ilmu. Oleh itu, sebaik-baiknya ilmu perlulah disampaikan dengan menggunakan bahasa yang betul. Ya, memang benar jika kita katakan bahawa ilmu perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah. Tetapi pernahkah kita terfikir, apakah nasib bahasa Melayu jika bahasa standardnya terus ditolak ke tepi? Pasti jawapannya bahasa Melayu standard hanya bahasa buku. Generasi akan datang pasti sukar untuk menerima bahasa Melayu yang betul penggunaan nahunya. Penyelesaiannya hanya satu iaitu penulis-penulis lirik perlulah sensetif dengan isu bahasa. Jangan menulis hanya untuk sedap didengar, kerana guru saya pernah berkata bahawa "Bahasa Melayu bukanlah bahasa yang sedap diucap tetapi penuh dengan peraturan dan rumus." Ingatlah bahawa unsur hiburan sangat hampir dengan masyarakat, maka jadikanlah unsur itu sebagai strategi mendidik bukannya merosakkan bangsa dan juga bahasa.

Apakah pilihan lagu yang dinyanyikan Giant agaknya, lagu lama  atau baharu? ^_^

No comments:

Post a Comment