Thursday, 3 May 2012

ENTRI 39: ANAK MUDA DAN LRT

Perasaan gembira apabila dapat bercuti bersama keluarga pada minggu lepas masih terselit dalam hati ini. Walau bagaimanapun saya berasa amat kesal apabila mengenang kembali satu peristiwa yang berlaku dalam pengangkutan awam, LRT. Ketika kami masuk ke dalam LRT, kami dapati keadaan di situ agak sesak dangan orang ramai. Nenek dan pak cik yang berumur sekitar 60 tahun terpaksa berdiri memandangkan kerusi di dalam LRT tersebut dipehuni dengan anak-anak muda. Mak cik saya yang sedang mendukung seorang bayi juga terpaksa berdiri. Tiada seorang pun antara pemuda-pemuda tersebut bangun dan mempelawa insan-insan yang lebih berhak ini untuk duduk. Tiba-tiba seorang lelaki yang kelihatan berusia hampir separuh abad, bangun daripada duduknya dan mempelawa nenek dan Mak cik duduk. Namun Pak Cik masih berdiri di hadapan pemuda-pemuda yang gagah  itu sehinggalah kami sampai ke destinasi yang dituju dalam tempoh masa yang agak lama.

"Pandanglah dengan hati, bukan sekadar mata" ^_^


            Sedih rasanya mengenangkan nilai kesantunan yang semakin terhakis dalam jiwa remaja. Tidakkah mereka berasa simpati melihat seorang tua yang tidak berdaya berdiri di hadapan mereka dalam keadaan terhoyong-hayang? Tidakkah mereka rasa bersalah kerana mengambil hak orang yang lebih berhak mendapat tempat duduk itu? Sudah jelas lagi bersuluh, terdapat kata-kata peringatan yang tertulis di setiap sudut tempat duduk itu bahawa warga tua, ibu mengandung, orang berlainan upaya dan ibu yang membawa anak lebih berhak duduk di tempat tersebut. Saya juga berasa amat malu, apabila melihat seorang tua lebih sanggup memberikan tempat duduknya kepada orang lain. Geram juga rasanya melihat wajah-wajah pemuda yang bagaikan tiada perasaan dan tetap angkuh duduk di tempat mereka. Manakah hilangnya nilai-nilai sivik yang diajar dalam mata pelajaran di sekolah?Perasaan kecewa, sedih dan malu menjadi satu dalam jiwa ini melihat masyarakat sebayaku sudah hilang nilai-nilai kesantunan bahasanya. Bagaimana pula agaknya insan-insan yang bakal aku didik di sekolah kelak? Mungkinkah mereka langsung tidak kenal erti kesantunan bahasa? Fikiranku masih bersoal jawab.

No comments:

Post a Comment