Friday, 4 May 2012

ENTRI 40: LAGU BAHARU ATAU LAMA, APA PILIHAN ANDA?


Mendengar lagu ini di dalam bas, membuatkan saya dan rakan menilai serta membuat perbandingan tentang aspek bahasa antara lagu lama dan baharu. Mari kita lihat bait-bait liriknya.

Aku lihat dia di sana,
Aku ingin mendekatinya,
Aku cuba menghampirinya,
Lalu aku menyapa dia.
Dia pun membuka bicara,
Dan aku mulai mengenalnya,
Kita mulai bermain mata,
Mula timbul rasa bahagia.

‘Aku Suka Dia’, inilah tajuk lagu yang dinyanyikan oleh Ainan Tasnim. Lagu ini ditulis dengan hanya menggunakan bahasa biasa, bahasa basahan atau mudah dikatakan sebagai bahasa pasar. Tiada nilai estetika yang wujud dalam bait liriknya. Lirik lagu tahun 2012 ini disusun dengan satu tujuan iaitu sedap didengar. Cuba kita bandingkan dengan lirik lagu lama, pasti wujud perbezaannya. Hayatilah lirik lagu ini.

Di mana suara burung kenari,
Selalu merayu menghibur hati,
Mengapa kau tidak menyanyi,
Merajukkah dikau kenari?

Hai burung kenari sedang sembunyi,
Di balik rimbunan pohon yang tinggi,
Semalam ku tunggu di sini,
Kenapa kau tidak ke mari?

Dua rangkap lirik lagu ini, sudah cukup memberikan gambaran kepada kita betapa indahnya bahasa lagu lama. Lagu ‘Di Mana Suara Burung Kenari’ nyanyian Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma ini penuh dengan nilai estetikanya. Lihatlah pada setiap bait liriknya disusun rapi dengan rima akhir yang sama iaitu ‘aaaa’. Unsur pantun digunakan untuk menggubah sebuah lagu. Aspek gaya bahasa personifikasi juga digunakan sebagai tarikan. Bukan perkara mudah untuk kita lakukan. Selain itu, bahasa yang digunakan  juga mempunyai unsur-unsur tersirat dan berkias. Hal ini selari dengan situasi masyarakat Melayu yang mementingkan budi bahasa sehinggakan gemar menggunakan kiasan dalam berkomunikasi. Itulah ragam bahasa lagu pada tahun 60-an. Jadi, apakah pilihan anda? Masih mahukah anda mengagung-agungkan lagu-lagu Melayu baharu yang semakin hilang nilai estetika bahasanya? Apakah kualiti lagu Melayu pada masa hadapan?
            Lagu dikatakan sebagai medium penyampaian ilmu. Oleh itu, sebaik-baiknya ilmu perlulah disampaikan dengan menggunakan bahasa yang betul. Ya, memang benar jika kita katakan bahawa ilmu perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah. Tetapi pernahkah kita terfikir, apakah nasib bahasa Melayu jika bahasa standardnya terus ditolak ke tepi? Pasti jawapannya bahasa Melayu standard hanya bahasa buku. Generasi akan datang pasti sukar untuk menerima bahasa Melayu yang betul penggunaan nahunya. Penyelesaiannya hanya satu iaitu penulis-penulis lirik perlulah sensetif dengan isu bahasa. Jangan menulis hanya untuk sedap didengar, kerana guru saya pernah berkata bahawa "Bahasa Melayu bukanlah bahasa yang sedap diucap tetapi penuh dengan peraturan dan rumus." Ingatlah bahawa unsur hiburan sangat hampir dengan masyarakat, maka jadikanlah unsur itu sebagai strategi mendidik bukannya merosakkan bangsa dan juga bahasa.

Apakah pilihan lagu yang dinyanyikan Giant agaknya, lagu lama  atau baharu? ^_^

Thursday, 3 May 2012

ENTRI 39: ANAK MUDA DAN LRT

Perasaan gembira apabila dapat bercuti bersama keluarga pada minggu lepas masih terselit dalam hati ini. Walau bagaimanapun saya berasa amat kesal apabila mengenang kembali satu peristiwa yang berlaku dalam pengangkutan awam, LRT. Ketika kami masuk ke dalam LRT, kami dapati keadaan di situ agak sesak dangan orang ramai. Nenek dan pak cik yang berumur sekitar 60 tahun terpaksa berdiri memandangkan kerusi di dalam LRT tersebut dipehuni dengan anak-anak muda. Mak cik saya yang sedang mendukung seorang bayi juga terpaksa berdiri. Tiada seorang pun antara pemuda-pemuda tersebut bangun dan mempelawa insan-insan yang lebih berhak ini untuk duduk. Tiba-tiba seorang lelaki yang kelihatan berusia hampir separuh abad, bangun daripada duduknya dan mempelawa nenek dan Mak cik duduk. Namun Pak Cik masih berdiri di hadapan pemuda-pemuda yang gagah  itu sehinggalah kami sampai ke destinasi yang dituju dalam tempoh masa yang agak lama.

"Pandanglah dengan hati, bukan sekadar mata" ^_^


            Sedih rasanya mengenangkan nilai kesantunan yang semakin terhakis dalam jiwa remaja. Tidakkah mereka berasa simpati melihat seorang tua yang tidak berdaya berdiri di hadapan mereka dalam keadaan terhoyong-hayang? Tidakkah mereka rasa bersalah kerana mengambil hak orang yang lebih berhak mendapat tempat duduk itu? Sudah jelas lagi bersuluh, terdapat kata-kata peringatan yang tertulis di setiap sudut tempat duduk itu bahawa warga tua, ibu mengandung, orang berlainan upaya dan ibu yang membawa anak lebih berhak duduk di tempat tersebut. Saya juga berasa amat malu, apabila melihat seorang tua lebih sanggup memberikan tempat duduknya kepada orang lain. Geram juga rasanya melihat wajah-wajah pemuda yang bagaikan tiada perasaan dan tetap angkuh duduk di tempat mereka. Manakah hilangnya nilai-nilai sivik yang diajar dalam mata pelajaran di sekolah?Perasaan kecewa, sedih dan malu menjadi satu dalam jiwa ini melihat masyarakat sebayaku sudah hilang nilai-nilai kesantunan bahasanya. Bagaimana pula agaknya insan-insan yang bakal aku didik di sekolah kelak? Mungkinkah mereka langsung tidak kenal erti kesantunan bahasa? Fikiranku masih bersoal jawab.

Wednesday, 2 May 2012

ENTRI 38: Intonasi Bahasa Tulisan. (^_^)

"Berhati-hati ketika berbahasa tulisan " ^_^

Dewasa kini bahasa tulisan seperti sistem khidmat pesanan ringkas dan perbualan atas talian atau 'chatting' menjadi medium utama untuk berkomunikasi. Bahasa tulisan ini semakin popular dalam kalangan masyarakat dunia. Kadangkala pelbagai reaksi wajah yang dapat kita lihat apabila seseorang itu memandang paparan telefon bimbit atau paparan di komputer. Ada yang tersenyum, ada yang berkerut dan juga yang sedih. Namun di sebalik reaksi-reaksi wajah itu, pernahkah anda terfikir wujudnya komplikasi daripada penggunaan bahasa tulisan itu? Saya terpanggil untuk mengetengahkan isu ini setelah memberikan sebaris ayat kepada seorang rakan melalui khidmat pesanan ringkas yang berbunyi "Tak nak la awak". Saya menolak pelawaannya yang berkali-kali meminta saya menghadiri sebuah majlis perkahwinan bersamanya dengan bahasa tulisan itu. Tiba-tiba saya menerima balasan mesej daripadanya yang berbunyi "Baiklah, maaf". Sejurus membaca balasan mesej itu, saya terkesima dan terfikir sebab dia meminta maaf. Mungkinkah dia merasakan bahawa mesej yang saya beri kepadanya dilontarkan dengan emosi marah? Saya berasa sangat menyesal kerana sesungguhnya mesej yang saya sampaikan adalah sebaris ayat yang ingin diucapkan dengan intonasi yang redah dan lembut. Namun begitu saya tidak pasti adakah dia membaca bahasa tulisan itu dengan intonasi yang sama sebagaimana yang ingin saya ucapkan? Mungkin dia membacanya dengan intonasi yang marah sehinggakan dia memohon kemaafan.

              Begitulah bahananya bahasa tulisan yang boleh dibaca dengan intonasi berbeza-beza. Saya terfikir apakah solusi yang terbaik bagi mengelakkan timbulnya masalah salah sangka ketika berkomunikasi? Mungkinkah saya perlu menggunakan bahasa tulisan seperti ini? "Tak nak la awak (baca dengan intonasi lembut)". Oleh hal yang demikian penggunaan simbol senyuman seperti ^_^ dan perkataan 'hehe' sebagai lambang ketawa amat digalakkan, agar sesiapa sahaja yang membaca bahasa tulisan dapat mengerti bahawa bahasa itu ingin disampaikan dengan intonasi yang baik. Oleh itu, kita perlulah sentiasa berhati-hati dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa tulisan. Hal ini kerana bahasa ini boleh mengguris hati sesiapa sahaja. Jangan tinggalkan budaya berbudi bahasa dan bersopan santun walaupun kita sedang berbahasa menggunakan bahasa tulisan.

Tuesday, 1 May 2012

ENTRI 37: APABILA KARTUN BARAT BERBAHASA MELAYU

Patrick yang comel dan merah jambu ^_^
Mencuci patung Patrick kesayanganku pada hari ini membuatkan ingatanku terimbas kembali tentang peristiwa enam tahun yang lalu ketikaku membelinya . Pada tahun 2007, satu fonemena telah melanda pekan Ayer Hitam, Johor apabila banyak patung 'Spongebob' dan 'Patrick' bergantung-gantungan di setiap gerai sepanjang jalan. Mata remaja mana yang tidak terpikat dengan lambakan patung comel seperti itu dan akhirnya saya memikili satu daripada lambakan patung Patrick tersebut.
          
    Fenomena ini berlaku apabila kartun 'Spangebob Squarepants' telah dialih suara kepada bahasa Melayu dan ditayangkan di TV9. Rancangan kartun itu menjadi popular dengan tiba-tiba sedangkan sebelum ini kartun tersebut telah ditayangkan di TV3 dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah menarik minat bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa untuk menontonnya. Walaupun siaran dan episod yang ditayangkan seringkali diulang, namun tiada kata jemu dilontarkan oleh penonton-penonton di Malaysia. kesempatan itu, menyebabkan pengusaha-pengusaha barangan kanak-kanak seperti permainan dan pakaian menjadikan watak-watak di dalam rancangan kartun 'Spangebob Squarepants' sebagai tema produk mereka. itulah hebatnya kuasa bahasa Melayu.