Mendengar lagu
ini di dalam bas, membuatkan saya dan rakan menilai serta membuat perbandingan tentang
aspek bahasa antara lagu lama dan baharu. Mari kita lihat bait-bait liriknya.
Aku lihat dia di sana,
Aku ingin mendekatinya,
Aku cuba menghampirinya,
Lalu aku menyapa dia.
Dia pun membuka bicara,
Dan aku mulai mengenalnya,
Kita mulai bermain mata,
Mula timbul rasa bahagia.
‘Aku Suka Dia’,
inilah tajuk lagu yang dinyanyikan oleh Ainan Tasnim. Lagu ini ditulis dengan hanya
menggunakan bahasa biasa, bahasa basahan atau mudah dikatakan sebagai bahasa
pasar. Tiada nilai estetika yang wujud dalam bait liriknya. Lirik lagu tahun 2012 ini disusun
dengan satu tujuan iaitu sedap didengar. Cuba kita bandingkan dengan lirik lagu
lama, pasti wujud perbezaannya. Hayatilah lirik lagu ini.
Di mana suara burung kenari,
Selalu merayu menghibur hati,
Mengapa kau tidak menyanyi,
Merajukkah dikau kenari?
Hai burung kenari sedang sembunyi,
Di balik rimbunan pohon yang
tinggi,
Semalam ku tunggu di sini,
Kenapa kau tidak ke mari?
Dua rangkap
lirik lagu ini, sudah cukup memberikan gambaran kepada kita betapa indahnya
bahasa lagu lama. Lagu ‘Di Mana Suara Burung Kenari’ nyanyian Tan Sri P. Ramlee
dan Puan Sri Saloma ini penuh dengan nilai estetikanya. Lihatlah pada setiap
bait liriknya disusun rapi dengan rima akhir yang sama iaitu ‘aaaa’. Unsur pantun
digunakan untuk menggubah sebuah lagu. Aspek gaya bahasa personifikasi juga
digunakan sebagai tarikan. Bukan perkara mudah untuk kita lakukan. Selain itu,
bahasa yang digunakan juga mempunyai unsur-unsur tersirat dan berkias. Hal ini
selari dengan situasi masyarakat Melayu yang mementingkan budi
bahasa sehinggakan gemar menggunakan kiasan dalam berkomunikasi. Itulah ragam
bahasa lagu pada tahun 60-an. Jadi, apakah pilihan anda? Masih mahukah anda
mengagung-agungkan lagu-lagu Melayu baharu yang semakin hilang nilai estetika
bahasanya? Apakah kualiti lagu Melayu pada masa hadapan?
Lagu dikatakan sebagai medium penyampaian
ilmu. Oleh itu, sebaik-baiknya ilmu perlulah disampaikan dengan menggunakan
bahasa yang betul. Ya, memang benar jika kita katakan bahawa ilmu perlu
disampaikan dengan bahasa yang mudah. Tetapi pernahkah kita terfikir, apakah
nasib bahasa Melayu jika bahasa standardnya terus ditolak ke tepi? Pasti jawapannya
bahasa Melayu standard hanya bahasa buku. Generasi akan datang pasti sukar untuk
menerima bahasa Melayu yang betul penggunaan nahunya. Penyelesaiannya hanya
satu iaitu penulis-penulis lirik perlulah sensetif dengan isu bahasa. Jangan menulis
hanya untuk sedap didengar, kerana guru saya pernah berkata bahawa "Bahasa
Melayu bukanlah bahasa yang sedap diucap tetapi penuh dengan peraturan dan
rumus." Ingatlah bahawa unsur hiburan sangat hampir dengan masyarakat, maka
jadikanlah unsur itu sebagai strategi mendidik bukannya merosakkan bangsa dan
juga bahasa.
|
Apakah pilihan lagu yang dinyanyikan Giant agaknya, lagu lama atau baharu? ^_^ |