Monday, 19 March 2012

ENTRI 12: SENYUMAN ITU BAHASA

Saya mudah untuk memberikan senyuman kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang tidak dikenali dan apatah lagi kepada kenalan-kenalan saya. Hari ini tanpa ragu saya tersenyum lagi kepada seorang wanita yang tidak saya kenali. Namun begitu senyuman saya dibalas dengan wajahnya yang masam mencuka. Melalui reaksinya itu saya dapat membaca bahasa yang ingin disampaikan iaitu, dia tidak mengenali saya.
Senyum itu sedekah ^_^

Senyuman boleh mengungkap pelbagai mesej atau bahasa. Melalui senyuman sesiapa sahaja yakin bahawa bahasa yang ingin disampaikan ialah perasaan suka dan gembira. Senyuman juga mendukung lambang ucapan sapaan seperti selamat pagi, selamat petang, selamat malam dan sebagainya. Namun begitu terdapat juga lambang senyuman yang membawa maksud negatif iaitu senyum mengejek, tetapi senyuman itu tampak tidak ikhlas di mata orang yang melihatnya. Begitulah kisah sebuah senyuman. Segaris senyuman mengungkap seribu makna. Senyum...tak perlu kata apa-apa. ^_^

Friday, 16 March 2012

ENTRI 11: BAHASA ROJAK


"How much kain ni". Saya tersenyum melihat gelagat ibu saudara yang mula memasukkan istilah-istilah bahasa Inggeris dalam pertuturannya sejak menetap di Kuala Lumpur. Sedikit usikan nakal saya ajukan kepadanya semasa kami berehat di sebuah restoran selepas letih membeli belah, "Amboi, sejak tinggal di Kuala Lumpur, pandai cakap how much." Dia ketawa geli hati dan mengatakan, "Biasalah orang KL" dengan nada bergurau. Mungkin itu realiti orang Kota Raya, mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Perkataan "I" dan "You" sudah sinonim dalam kalangan mereka dan inilah yang dikatakan sebagai bahasa rojak. Malah seorang tokoh yang aktif dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu juga tidak terlepas daripada ikatan dan belenggu perkataan "I" dan "You".
      
         Bahasa rojak ialah percampuran bahasa-bahasa asing dalam pertuturan bahasa Melayu seperti penggunaan  bahasa Inggeris, bahasa Cina, Arab dan sebagainya. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat dapat memberikan impak yang besar terhadap nasib bahasa Melayu. Identiti bahasa Melayu yang sebenar akan terhakis dan masyarakat tidak dapat menguasai penggunaan bahasa Melayu secara formal. Oleh itu, sebagai masyarakat Melayu khususnya, kita perlulah bertutur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya agar identiti bahasa ibunda kita tidak tenggelam dek zaman.
Ingat, jangan amalkan! ^_^

Thursday, 15 March 2012

ENTRI 10: BUDI BAHASA DI KAUNTER


Dengan wajah yang mencuka dia menghulurkan tiket bas kepada pelanggannya. Tiada secalit pun senyuman yang dipamerkan oleh pekerja kaunter tiket bas eskpres itu. Persoalan pelanggan juga dijawab dengan acuh tidak acuh. Di manakah hilangnya budaya budi bahasa yang seharusnya wujud di kaunter-kaunter perkhidmatan? Bukankah dalam etika perniagaan, pelanggan adalah raja? Adakah itu layanan yang sepatutnya diterima oleh seorang yang dianggap sebagai raja? Banyak persoalan yang timbul di dalam fikiranku setelah menerima layanan seorang pemuda di kaunter tiket. Bukan layanan istimewa yang saya ingini sebagai seorang pelanggan, tetapi layanan yang berhemah dan berbudi bahasa.
Budi bahasa amalan kaunter ^_^
        Budi bahasa dikaunter sangat penting kerana imej sesebuah organisasi dapat dilihat melalui cara mereka mengendalikan kaunter perkhidmatan mereka sama ada baik atau tidak terhadap permintaan pelanggan. Oleh itu, petugas-petugas kaunter perlulah sentiasa mengamalkan budi bahasa yang baik walaupun hanya sekadar memberikan senyuman. Hal ini demikian kerana senyuman dapat memberikan bunga-bunga mekar di hati seorang pelanggan.

Wednesday, 14 March 2012

ENTRI 9: MAKNA SELAPIS ATAU BERLAPIS-LAPIS?

Jangan suka sindir menyindir ^_^
"Marahkan anak sindir menantu" merupakan peribahasa yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu yang kaya dengan nilai-nilai kesopanan dan kesantunan berbahasa sering kali menjadikan bahasa sindiran sebagai altenatif untuk mengungkap perasaan marah. Setiap ucapan yang diujarkan bukan hanya boleh dilihat secara selapis, kerana kadangkala ungkapan itu mengadungi makna yang berlapis-lapis. Bahasa sindiran ini boleh difahami melalui intonasi yang disampaikan oleh penuturnya sebagaimana yang saya hadapi seawal pagi sehingga waktu petang pada hari ini. Kata-kata sindiran yang diucapkan oleh seorang rakan masih terniang-niang di telinga saya. Niatnya yang murni untuk membantu saya dalam kesesatan jalan raya dikaburi dengan sikapnya yang sentiasa menyindir-nyindir saya. Bagi seorang kanak-kanak yang belum mengerti ragam bahasa pasti terhibur dan tidak ambil peduli dengan kata-katanya. Namun bagi saya, kata-katanya mengandungi makna yang berlapis-lapis dan mengguriskan hati. 
            Justeru itu, walaupun bahasa sindiran ini digunakan oleh masyarakat tradisional untuk mengekalkan kesantunan berbahasa ketika dalam keadaan yang tidak puas hati, namun bahasa sindiran ini juga dapat memberikan impak perasaan yang tinggi terhadap orang yang menerimanya. Oleh itu, janganlah kita sering kali mengamalkan bahasa sindiran ini kerana makna ungkapan yang berlapis-lapis itu akan membawa kesan negatif yang lebih banyak. Hal ini boleh berlaku kerana si penerima sindirian akan meneka-neka makna ungkapan berlapis-lapis itu  dan akhirnya berburuk sangka kepada si penutur. 

Tuesday, 13 March 2012

ENTRI 8: BAHASA KASIH SAYANG

SAYA SAYANG MAK DAN AYAH SAYA ^_^

Kasih sayang merupakan satu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Bagaimana kita meluahkan rasa sayang kepada ibu bapa dan keluarga? Kadang kala perkara itu menjadi tanda tanya dalam masyarakat Melayu yang sukar untuk menunjukkan rasa sayang. Hari ini saya terpanggil untuk mengupas sedikit tentang bahasa kasih sayang setelah melihat beberapa artikel tentang 'Luahkan kasih sayang anda sebelum dia pergi' dan mendengar sebuah lagu yang bertajuk 'Lagu lafaz yang tersimpan'. Lagu nasyid nyanyian kumpulan Inteam  itu mengisahkan seorang anak yang sangat sukar mengungkap rasa sayangnya kepada ibu sehinggalah ibunya pergi mengadap Illahi. Perasaan itu akhirnya hanya dipendam dan terbuku di dalam hati. Oleh itu, luahkan perasaan anda kepada keluarga melalui bahasa kasih sayang. Bahasa kasih sayang bukan sahaja diaplikasikan dengan berkata-kata "Saya sayang ibu dan ayah" tetapi perbuatan kita yang sentiasa mengambil berat dan prihati terhadap kedua ibu bapa kita juga telah menggambarkan bahasa kasih sayang yang ingin kita sampaikan kepada mereka. Kuasa sentuahan seperti pelukan dan ciuman juga merupakan bahasa kasih sayang yang sangat bererti. Teringat saya tentang kisah seorang rakan yang sanggup berulang-alik ke hospital untuk melawat ibunya yang sakit walaupun hanya berbekalkan RM2 yang akan digunakan untuk mengisi minyak motor. Dia berasa puas setiap kali menemui ibunya dan menyampaikan bahasa kasih saynagnya dengan urutan dan ciuman ikhlas buat ibunya yang tercinta. Kini ibunya telah tiada di muka bumi, namun tiada kekesalan yang melanda hati sahabat ini kerana dia yakin bahasa kasih sayangnya telah diterima oleh ibunya suatu ketika dahulu. Pesanan saya sebelum mengakhiri catatan ini, luahkanlah perasaan sayang anda kepada keluarga.

Monday, 12 March 2012

ENTRI 7: BAHASA ROJAK DALAM MUZIK


Sebentar tadi rakan sebilik saya memainkan sebuah lagu yang cukup menarik daripada segi melodi dan nadanya sealiran dengan irama masa kini. Namun begitu terdapat satu kejanggalan yang ketara melalui bait lirik-lirik lagu tersebut ialah bahasanya. Bahasa yang digunakan terlalu bercampur baur dan menjadikan lagu itu tampak hilang serinya. Penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara serentak membuatkan bahasa yang digunakan menjadi bahasa rojak.
 Pada pendapat saya, keadaan seperti ini perlulah dielakkan kerana pelajar-pelajar sekolah dan anak-anak remaja adalah golongan yang terdedah dengan dunia hiburan seperti muzik. Muzik juga dianggap sebagai medium pengajaran yang sangat mempengaruhi kehidupan remaja masa kini. Jika budaya bahasa rojak diamalkan dalam penghasilan sebuah karya muzik, maka tidak mustahil budaya ini menjadi sebahagian budaya masyarakat generasi akan datang. Jadi, jika perkara seperti ini berlaku, adakah kempen serta usaha kerajaan dalam memertabatkan bahasa Melayu berjaya? Duduklah dan fikirkan sejenak.

Friday, 9 March 2012

ENTRI 6: Dialek rakanku


Menjalankan kehidupan di universiti mendedahkan saya dengan budaya dan bahasa masyarakat Malaysia dari pelbagai negeri. Aspek yang sangat ketara dan memberi kesan terhadap kehidupan kampus saya ialah bahasa dialek. Walaupun hampir empat tahun hidup bersama dengan rakan-rakan dari Pantai Timur, namun saya masih sukar memahami dialek mereka terutama dialek negeri Kelantan. Kesukaran memahami pertuturan mereka menyebabkan saya berlaku pasif apabila duduk dalam kelompok rakan-rakan yang bertutur menggunakan dialek.
    
   Saya berpendapat, tiada masalah sekiranya mereka mahu mengamalkan penggunaan dialek dalam berkomunikasi, namun ada batas-batas tertentu yang perlu dipatuhi oleh mereka. Batasan tersebut ialah penggunaan dialek hanya digunakan untuk berkomunukasi dalam kalangan rakan-rakan senegeri. Maka tiadalah masalah komunikasi tidak berkesan ketika berbicara dengan rakan-rakan yang berlainan negeri.
SAYA TIDAK ANTI ^_^