Wednesday, 14 March 2012

ENTRI 9: MAKNA SELAPIS ATAU BERLAPIS-LAPIS?

Jangan suka sindir menyindir ^_^
"Marahkan anak sindir menantu" merupakan peribahasa yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu yang kaya dengan nilai-nilai kesopanan dan kesantunan berbahasa sering kali menjadikan bahasa sindiran sebagai altenatif untuk mengungkap perasaan marah. Setiap ucapan yang diujarkan bukan hanya boleh dilihat secara selapis, kerana kadangkala ungkapan itu mengadungi makna yang berlapis-lapis. Bahasa sindiran ini boleh difahami melalui intonasi yang disampaikan oleh penuturnya sebagaimana yang saya hadapi seawal pagi sehingga waktu petang pada hari ini. Kata-kata sindiran yang diucapkan oleh seorang rakan masih terniang-niang di telinga saya. Niatnya yang murni untuk membantu saya dalam kesesatan jalan raya dikaburi dengan sikapnya yang sentiasa menyindir-nyindir saya. Bagi seorang kanak-kanak yang belum mengerti ragam bahasa pasti terhibur dan tidak ambil peduli dengan kata-katanya. Namun bagi saya, kata-katanya mengandungi makna yang berlapis-lapis dan mengguriskan hati. 
            Justeru itu, walaupun bahasa sindiran ini digunakan oleh masyarakat tradisional untuk mengekalkan kesantunan berbahasa ketika dalam keadaan yang tidak puas hati, namun bahasa sindiran ini juga dapat memberikan impak perasaan yang tinggi terhadap orang yang menerimanya. Oleh itu, janganlah kita sering kali mengamalkan bahasa sindiran ini kerana makna ungkapan yang berlapis-lapis itu akan membawa kesan negatif yang lebih banyak. Hal ini boleh berlaku kerana si penerima sindirian akan meneka-neka makna ungkapan berlapis-lapis itu  dan akhirnya berburuk sangka kepada si penutur. 

No comments:

Post a Comment