Kasih sayang merupakan satu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Bagaimana kita meluahkan rasa sayang kepada ibu bapa dan keluarga? Kadang kala perkara itu menjadi tanda tanya dalam masyarakat Melayu yang sukar untuk menunjukkan rasa sayang. Hari ini saya terpanggil untuk mengupas sedikit tentang bahasa kasih sayang setelah melihat beberapa artikel tentang 'Luahkan kasih sayang anda sebelum dia pergi' dan mendengar sebuah lagu yang bertajuk 'Lagu lafaz yang tersimpan'. Lagu nasyid nyanyian kumpulan Inteam itu mengisahkan seorang anak yang sangat sukar mengungkap rasa sayangnya kepada ibu sehinggalah ibunya pergi mengadap Illahi. Perasaan itu akhirnya hanya dipendam dan terbuku di dalam hati. Oleh itu, luahkan perasaan anda kepada keluarga melalui bahasa kasih sayang. Bahasa kasih sayang bukan sahaja diaplikasikan dengan berkata-kata "Saya sayang ibu dan ayah" tetapi perbuatan kita yang sentiasa mengambil berat dan prihati terhadap kedua ibu bapa kita juga telah menggambarkan bahasa kasih sayang yang ingin kita sampaikan kepada mereka. Kuasa sentuahan seperti pelukan dan ciuman juga merupakan bahasa kasih sayang yang sangat bererti. Teringat saya tentang kisah seorang rakan yang sanggup berulang-alik ke hospital untuk melawat ibunya yang sakit walaupun hanya berbekalkan RM2 yang akan digunakan untuk mengisi minyak motor. Dia berasa puas setiap kali menemui ibunya dan menyampaikan bahasa kasih saynagnya dengan urutan dan ciuman ikhlas buat ibunya yang tercinta. Kini ibunya telah tiada di muka bumi, namun tiada kekesalan yang melanda hati sahabat ini kerana dia yakin bahasa kasih sayangnya telah diterima oleh ibunya suatu ketika dahulu. Pesanan saya sebelum mengakhiri catatan ini, luahkanlah perasaan sayang anda kepada keluarga.
No comments:
Post a Comment