Monday, 5 March 2012

ENTRI 2: Bahasa kedua atau bahasa pertama?


Tamat sahaja kuliah Sosiolinguistik di Kampus Baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini, saya dan tiga orang rakan lain bergegas keluar dari kelas supaya tidak terlewat mendapatkan bas untuk ke kolej dan kampus induk. Kami berempat mengambil alternatif menggunakan perkhidmatan lif untuk turun ke aras bawah. Masuk sahaja di dalam lif tersebut, saya dapati betapa canggihnya kemudahan lif tersebut yang sebelum ini tidak pernah wujud dalam sistem lif-lif di UPSI. Kecanggihan yang dimaksudkan ialah setiap kali sebelum pintu lif ditutup, satu suara yang telah diprogramkan dalam sistem lif tersebut kedengaran dengan melontarkan dua ayat iaitu “ground floor” dan “tingkat bawah”. Sebagai pelajar major bahasa Melayu dan orang Melayu, saya terkesan dengan situasi tersebut. Apa yang menjadi persoalan di minda saya, mengapa pemberitahuan dalam bahasa Inggeris mendahului bahasa Melayu? Tidak bolehkah sistem ini diprogram dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua? Sedangkan kita ketahui bahawa bahasa Melayu merupakan Bahasa Ibunda, Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia. Tambahan pula bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di seluruh Institiut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia. Pada pendapat saya, tidak salah menggunakan kedua-dua bahasa, tetapi letaklah sesuatu perkara itu di tempatnya. Jika bahasa Melayu, bahasa pertama maka letaklah di tempat yang pertama. Jika bahasa Inggeris bahasa kedua maka letakkanlah di tempat kedua. Hal ini akan melambangkan identiti negara kita. Negara kita akan dinilai oleh orang luar tentang sejauh mana tahap kesetiaan kita terhadap Bahasa Ibunda atau Bahasa Kebangsaan. Oleh itu, berpeganglah kepada slogan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.

Saya sayang bahasa Melayu ^_^

No comments:

Post a Comment